Selasa, 24 Desember 2013


KUALA LUMPUR – Pertembungan dua pasukan Pantai Timur pada pentas akhir Piala Malaysia 2013 Ahad ini disifatkan sebagai pertemuan buku dengan ruas dan bakal menjanjikan perlawanan sengit antara kedua-dua pasukan.

Kelantan turun dengan misi mempertahankan kejuaraan yang dikecapi musim lalu manakala Pahang pula mahu menamatkan kemarau kejuaraan selama 21 tahun.

Namun apa yang pasti, The Red Warriors dan Tok Gajah akan berjuang habis-habisan menjulang Piala Malaysia.

Ini kerana mereka sedar kejayaan tersebut bukan sesuatu yang mudah dan perlawanan akhir Ahad ini di Stadium Shah Alam perlu dilayan dengan sepenuh hati dan tekad membara.

Bagi Kelantan, mereka sudah membuktikan kredibeliti dan kemantapan mereka walaupun pada awal musim ini pasukan itu dijangka berdepan kesukaran setelah kehilangan penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang berhijrah ke Johor Darul Takzim.

Namun, Kelantan kini cukup digeruni kerana mempunyai jentera serangan yang tampak mustahil untuk dikekang oleh mana-mana pasukan.

Keadaan itu jelas terpancar berdasarkan aksi dominan mereka dalam beberapa perlawanan terdahulu.
Malah sama ada percaya atau tidak, skuad kendalian Bojan Hodak itu kelihatan mampu merobek gawang mana-mana lawan.

Perkembangan berkenaan sudah pasti mengundang rasa debar Jurulatih Pahang, Dollah Salleh.
Beliau kini perlu memerah otak untuk memikirkan cara terbaik mengekang kelincahan dan kelicikan pemain-pemain seperti Badhri Radzi, Norfarhan Muhamad, Zairo Anuar Zailani, Dickson Nwakaemi dan Indra Putra Mahyuddin.

Namun yang demikian, The Red Warriors kini berdepan bahaya kerana terpaksa melupakan khidmat bek tengah import, Obinna Nwaneri yang digantung perlawanan kerana mengumpul dua kad kuning dalam pusingan terdahulu.

Dalam hal ini, Bojan mungkin perlu mengubah taktik permainannya daripada agresif menyerang kepada permainan selamat untuk memastikan kekebalan kubu pertahanan pasukannya tidak mudah diapa-apakan.
Pemain yang berkemungkinan akan diturunkan untuk mengisi ruang tersebut ialah Azizi Matt Rose.

Dalam pada itu, hajat Pahang pula tentulah mahu mengulangi sejarah 21 tahun lalu apabila memenangi Piala Malaysia setelah menundukkan Kedah 2-0.

Dollah tentu terdesak dan berharap agar kecederaan Matias Conti segera pulih sebelum hari perhitungan.
Penyerang import Argentina itu memiliki kemahiran berkualiti selain memiliki kepantasan dan kebijaksanaan menghidu peluang menjaringkan gol.

Jika pemain berusia 23 tahun itu tidak cukup cergas untuk beraksi, Dollah masih ada lagi satu pilihan penyerang iaitu Fauzi Roslan.

Fauzi diyakini mampu memainkan peranan sebagai peledak berbahaya dan kebangkitannya sudah dirasai Pahang.

Perlawanan menentang Sarawak pada perlawanan separuh akhir menentang Sarawak baru-baru ini adalah bukti jelas betapa bahayanya Fauzi yang berjaya menanduk masuk gol penyamaan sekaligus membolehkan Pahang menempah tiket untuk ke final.

Selain Conti dan Fauzi, Tok Gajah memiliki pemain sayap lincah seperti R.Surendran dan R.Gopinathan yang mampu mengucar-kacirkan pertahanan Kelantan.

Walaubagaimanapun, kekurangan ketara Tok Gajah berbanding Kelantan adalah daripada aspek pengalaman dan ia dijangka memainkan peranan paling penting semasa aksi final nanti.

Justeru, kunci utama buat skuad Hitam Putih sebenarnya terletak pada kemahiran Dollah menenangkan skuadnya yang mungkin gementar dan gugup berdepan tekanan untuk membolehkan Pahang menjulang semula Piala Malaysia selepas dua dekad berlalu.

Sebelum ini, pemain penyerang Safee Sali dan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee melahirkan sokongan kepada pasukan Pahang untuk menjuarai edisi kali ini.

Namun, jurulatih lain seperti B. Sathianathan dan Azraai Khor memilih Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan sekali lagi.

0 komentar:

Posting Komentar

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!