KUALA LUMPUR – Pertubuhan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) merancang untuk mengadakan perhimpunan di ibu negara esok bagi membantah pindaan dilakukan ke atas Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959.
Pengarah Eksekutifnya, Nalini Elumalai mendakwa, bantahan itu dibuat kerana pindaan itu akan membolehkan semula penahanan tanpa perbicaraan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bacaan pertama Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Peluasan) Rang Undang-Undang 2013 di Dewan Rakyat pada 25 September ini membawa pindaan kepada PCA 1959.
“Suaram akan mengadakan perhimpunan aman bagi membantah perkara ini. Perhimpunan akan bermula dengan berhimpun di Lake Garden dan berarak ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Nalini turut mengulangi dakwaan kononnya pindaan itu melanggar asas nilai-nilai hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam bagaimanapun menjelaskan pindaan ke atas PCA 1959 dalam memastikan pengukuhan kuasa PDRM ekoran pemansuhan beberapa akta sebelum ini adalah 100 peratus untuk menangani kegiatan jenayah di negara ini.
Beliau dipetik berkata, tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan PCA 1959 sengaja dipinda bagi membolehkan ahli politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan dikenakan tindakan adalah tidak benar sama sekali.
Beliau juga berkata, tanggapan tersebut sengaja dijadikan alasan dan dimanipulasikan oleh pihak tertentu yang tidak sependapat dengan kerajaan.
Malah, kata Zahid, pindaan itu mengehadkan dan mengekang penyalahgunaan kuasa menteri dengan memberikannya kepada lembaga yang terdiri daripada tiga anggota Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
0 komentar:
Posting Komentar