Kamis, 30 Januari 2014

sinarharian
23 Disember 2012
Salahuddin Ayub
 
SHAH ALAM - Pemimpin kanan Pas mempertahankan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, yang melabel Mursyidul Am Pas bermulut celupar, sebagai "anak kecil yang menangis apabila dipukul."

Sehubungan itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, sebagai seorang pemimpin tertinggi negara, Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno tidak perlu bertindak seperti anak kecil apabila dipukul terus menangis.

Menurutnya, Muhyiddin seharusnya menggunakan kebijaksanaan apabila mengeluarkan kenyataan balas membidas Nik Aziz.

"Seharusnya Muhyiddin menjawab apa yang dikatakan oleh Nik Aziz secara "gentlemen."

"Bukan menjadi seperti anak kecil, apabila dipukul sedikit terus menangis.

"Umno kena balas balik dengan hujah-hujah (yang bernas) untuk nafikan apa yang dikatakan Nik Aziz jika tak betul, bukan menangis," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Semalam, Muhyiddin menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai bermulut celupar dan suka membuat fatwa sendiri apabila mengatakan orang Melayu yang menyokong Umno sebagai mungkar.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional berkata, kenyataan itu adalah rentetan fatwa songsang pemimpin Pas itu setiap kali menjelang pilihan raya umum.

"Itu satu lagi bukti Nik Aziz mengeluarkan faktwa yang tidak mengikut hukum bila dia sebut kumpulan orang yang mungkar ini kafir, orang Umno ini Firaun dan macam-macam lagi zalim dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno perlu bertindak dengan betul apabila ditegur oleh  Nik Aziz.

Tuan Ibrahim berkata, Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan bukan celupar, sebaliknya itu reaksi spontan beliau apabila melihat keadaan Umno yang semakin menyimpang daripada landasan sebenar.

"Yang penting bukan pada siapa yang mengeluarkan kenyataan, tapi kenapa Nik Aziz cakap begitu.

"Umno kena lihat itu sebagai teguran dan memperbaiki keadaan.

"Memang kita nafikan tindakan Nik Aziz itu bukan celupar, tetapi memberi reaksi spontan terhadap keadaan Umno yang semakin terkeluar daripada ajaran Islam," katanya yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.

0 komentar:

Posting Komentar

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!